Friday, 21 November 2008

Hidung Radiator Dinosaur










Larry Witmer dan Ryan Ridgely (link di sinihttp://www.oucom.ohiou.edu/dbms-witmer/DinoSinuses_main.htm) telah melakukan pengimbasan CT ke atas tengkorak dua jenis dinosaur kumpulan ankylosaur, dan telah membuat satu penemuan yang menakjubkan! Mereka menemui bahawa rongga hidung dinosaur ini amat luas dan membentuk struktur berlingkar-lingkar seperti ubat nyamuk.









Ankylosaur merupakan sekumpulan dinosaur herbivor yang aneh. Ankylosaur menyerupai kereta kebal, dengan badan yang gempal dan lebar, serta dilitupi oleh perisai dan tanduk. Ankylosaur menghuni di antara 200 hingga 65 juta tahun lampau.



Witmer dan Ridgely mendapati bahawa lingkar-lingkar ini terletak berhampiran saluran darah, dan mereka menafsirkan bahawa rongga hidung berlingkar ini mungkin satu bentuk penyesuaian bagi memudahkan pemindahan haba.







Secara asasnya, lingkar-lingkar ini akan bertindak seperti radiator kereta, bagi mengelakkan badan dinosaur itu menjadi terlalu panas. Radiator kereta juga mempunyai tiub yang berlingkar-lingkar bagi menambahkan luas permukaan radiator yang berhubung dengan udara luar. Ciri ini membolehkan pembebasan haba dengan lancar.







Haiwan-haiwan besar moden juga mempunyai ciri-ciri unik bagi memudahkan pemindahan haba dari badan. Contohnya gajah Afrika yang mempunyai telinga besar yang banyak salur darah dan boleh dikibar-kibarkan bagi menyejukkan badan.



Rujukan

Witmer and Ridgely (2008). The paranasal air sinuses of predatory and armored dinosaurs (Archosauria: Theropoda and Ankylosauria) and their contribution to cephalic structure. The Anatomical Record 291: 1362-1388

No comments: