
Angin solar (Solar wind) adalah aliran zarah-zarah tercas (plasma) yang keluar dari atmosfera matahari. Aliran ini terdiri daripada electron dan proton yang berjaya melepasi daya gravity matahari, kerana tenaga kinetic zarah-zarah itu dan suhu tinggi korona matahari.
Hakisan atmosfera Marikh oleh angin solar ini berlaku secara berperingkat, sedikit demi sedikit melepaskan udara Marikh ke angkasa lepas.
“Fenomena ini menjelaskan kenapa planet Marikh mempunyai kandungan udara yang sedikit dalam atmosferanya,” kata David Brain dari Universiti California, Berkeley, yang membentangkan penemuan pada Oktober 27, 2008.
Berbilion tahun lampau, atmosfera Marikh mempunyai lebih banyak udara berbanding sekarang. Sebahagian besar udara Marikh terdiri daripada karbon dioksida. Ini berbeza dengn atmosfera Bumi, yang sebahagian besarnya terdiri daripada campuran nitrogen dan oksigen.
Penemuan kesan tasik dan sungai purba di Marikh menunjukkan bahawa Marikh pernah dilitupi oleh air. Ini membuktikan yang atmosfera Marikh pada masa lampau cukup tebal untuk menghalang pengewapan air ke angkasa lepas.
Sesetengah penyelidik percaya bahawa atmosfera Marikh mungkin pernah setebal atmosfera Bumi pada masa lampau. Kini, kesemua tasik dan sungai di Marikh telah kering, dan tekanan atmosfera Marikh hanya menyamai 1% tekanan udara di Bumi pada aras laut. Secawan air yang didedahkan pada permukaan Marikh akan mendidih dan mengewap dengan cepat akibat tekanan rendah ini.
Jadi, ke mana hilangnya udara Marikh. Saintis telah mengandaikan beberapa kemungkinan, termasuk hentaman tahi bintang yang membebaskan udara Marikh dengan mengejut, atau proses yang lebih perlahan akibat hakisan angin solar selama berbilion tahun.
Brain menemui satu lagi kemungkinan, iaitu kadar hakisan atmosfera harian, berdasarkan data daripada kapal angkasa Mars Global Surveyor (MGS).

Rajah medan magnet Bumi
Pada 1998, MGS menemui bahawa Marikh mempunyai sebuah medan magnet yang aneh. Medan magnet Bumi menyerupai buih melingkungi seluruh dunia. Tetapi medan magnet Marikh terdiri daripada beberapa medan berbentuk paying yang hanya menyelubungi 40% permukaan planet itu.
Sebelum ini, sainis sentiasa mengandaikan bahawa paying-payung magnet ini berfungsi untuk melindungi atmosfera Marikh daripada hakisan angin solar. Brain pula mendapati bahawa payung-payung ini mungkin merupakan tempat di mana udara Marikh dibebaskan ke angkasa lepas.
Ini berdasarkan data dari kapal angkasa MGS yang telah mengelilingi Marikh sebanyak 25,000 kali. MGS pernah melalui bahagian atas salah satu paying-payung magnet ini, dan Brain mendapati bahawa medan magnet paying itu telah bercantum dengan medan magnet angin solar.
Gabungan medan ini kemudian membaluti sejumlah gas atmosfera Marikh, dan membentuk kapsul-kapsul magnetik seluas seribu kilometre yang diisi gas ter-ion. Tekanan angin solar menyebabkan kapsul-kapsul ini terbebas ke angkasa lepas, membawa bersamanya sebahagian atmosfera Marikh.
Brain percaya yang misteri penghakisan atmosfera Marikh masih belum difahami sepenuhnya. Persoalan seperti proses pembentukan kapsul-kapsul magnet dan jumlah gas di dalam setiap kapsul masih belum terjawab. Kajian ini disukarkan lagi kerana MGS hanya berupaya mengesan electron, tapi tidak boleh mengesan ion-ion lebih berat yang membentuk sebahagian besar gas-gas terperangkap dalam kapsul-kapsul ini.
Brain berharap yang misi baru NASA, iaitu MAVEN, dapat menjawab soalan-soalan in. MAVEN merupakan sebuah kapal angkasa yang dicipta khususnya untuk mengkaji hakian atmosfera., dan dirancang untuk berlepas ke Marikh pada 2013.
Artikel asal Dr Tony Philips, Science Daily 29 November 2008